Juara Akademi Fantasia musim ke- 7, Hafiz AF7, tidak dinafikan terus menyerlah dengan pelbagai kejayaan yang diraihnya. Membuka tirai 2012 dengan menjulang trofi Anugerah Juara Lagu menerusi lagu Awan Nano ternyata bakat dimiliki oleh Hafiz tidak boleh dipertikaikan lagi.

Rentetan daripada itu, Hafiz telah dipilih untuk berkolaborasi bersama Astro dan Wake The Baby Sdn Bhd menghasilkan lagu ‘Kita Satu” untuk projek terbaru Muzium Pahang / Muzium Sultan Abu Bakar bersempena dengan pelancaran Muzium Sultan Abu Bakar dan juga sambutan Hari Muzium Sedunia peringkat kebangsaan.

Konsep lagu ‘Kita Satu’ adalah pop dan lagu ini adalah sebuah lagu rancak yang membakar semangat. Kita Satu mendapatkan sentuhan daripada Ajai yang bertindak sebagai komposer dan penulis liriknya ialah Transformer Melayu.

Jelas Ajai, single Kita Satu menyeru supaya rakyat Malaysia berdiri teguh bergandingan tangan bersama dalam membangunkan negara. Katanya, pemilihan Hafiz amat tepat kerana kehebatan vokal yang dimilikinya itu, mampu menaikkan semangat sesiapa saja yang mendengarnya.

“Saya mengusulkan nama Hafiz kepada pihak Muzium Pahang kerana sebelum ini saya pernah bekerja dengannya untuk lagu Noktah Cinta. Jadi saya tahu kebolehan yang dimiliki oleh Hafiz dan dia mampu menyampaikan lagu tersebut dengan baik sekali.

“Karakter vokal Hafiz sangat sesuai dan Hafiz juga merupakan anak muda yang sedang mencipta nama dan boleh mewakili generasi baru melalui lagu Kita Satu ini,” ujar Ajai.

Single tersebut, akan dimuatkan dalam album khas Muzium Pahang yang akan dilancarkan di Ibukota pada bulan Jun akan datang ini. Selain daripada Hafiz, artis lain yang bakal terlibat ialah Ajai sendiri, Ella dan Kris Dayanti.

Majlis gilang-gemilang sambutan Hari Muzium Sedunia Peringkat Kebangsaan tahun ini akan disambut dengan meriahnya sekitar Jun 2012 di Bandar Di-Raja, Pekan, Pahang.

Sumber: Murai.com

Related posts: